top of page
Syafiq

LIMA RAMUAN LAKONLAYAR MEMUKAU




Pengarah filem legenda lagi terulung Alfred Hitchcock pernah ditanya tentang bahan utama dalam menghasilkan sesebuah filem yang diingati sepanjang masa. Beliau menjawab pertanyaan itu dengan barkata, “Untuk membikin sebuah filem yang hebat, anda memerlukan tiga perkara: skrip, skrip, dan skrip.” Kata-kata pedoman itu benar-benar melambangkan kepentingan sesebuah lakonlayar yang bersifat menyeluruh. Melalui penceritaan kreatif dan idea penuh inspirasi, apa jua lakonlayar – baik yang bersifat asli mahu pun diolah daripada sumber sedia ada – boleh berperanan sebagai satu asas utuh kepada pengalaman panggung yang sukar untuk dilupakan, sekiranya ia ditulis dengan kaedah yang betul dan menggunakan teknik yang tepat.


Secara teorinya, terdapat beberapa jenis skrip yang wujud di dalam industri hiburan, dan adalah penting untuk kita tahu membeza setiap daripadanya. Apabila kita bercakap tentang lakonlayar, ia lazimnya merujuk kepada skrip yang diguna pakai dalam penerbitan filem, manakala lakon TV pula ialah skrip yang dihasilkan bagi siri televisyen. Kedua-duanya memiliki format yang hampir sama, walau pun lakon TV melibatkan lebih banyak aspek teknikal seperti tetapan kamera. Bagi penerbitan teater atau pementasan, istilah yang sering digunakan ialah skrip drama pentas.


Penulisan skrip ialah satu proses yang memerlukan perhatian dan kreativiti yang tinggi untuk menghasilkan karya yang bukan sahaja memuaskan malah dapat diterima dengan baik oleh khalayak ramai kelak. Berikut merupakan antara elemen penting yang membentuk suatu lakonlayar mantap.


Rangka/Intisari

Di sinilah kembara penulisan anda bermula. Jika anda tidak pernah mendengar istilah ‘logline’, ia merujuk kepada ringkasan pendek sesebuah filem yang menerangkan plot atau idea utamanya. Ia biasanya ditulis dalam hanya satu ayat atu kurang daripada 25 patah perkataan. Keseluruhan lakonlayar anda adalah berpandukan kepada intisari tersebut yang berperanan sebagai rangka. Maka, adalah amat penting untuk muncul dengan intisari yang jelas dan menarik. Kebiasaannya, logline terdiri daripada empat komponen:

[protagonis] + [insiden pencetus] + [matlamat protagonist] + [konflik utama]

Dengan menggunakan bahasa visual atau kata kerja aktif, ia bukan sahaja akan memudahkan anda untuk membayangkan dan menyusun atur aliran cerita, malah ia juga membantu pembaca untuk benar-benar memahami naratif yang anda cuba ketengahkan, menjadikan mereka lebih ingin untuk membaca skrip anda yang selebihnya.


Cerita

Kisah yang terbaik ialah kisah yang membuat anda hanyut dalam emosi. Tak kira apa jua genre, lakonlayar anda perlu mampu untuk membawa pembaca menyelusuri satu pengalaman menyeluruh yang diakhiri dengan satu pernyataan (sama ada tersirat atau tersurat) yang memberi kesan mendalam kepada mereka. Walau pun bunyinya agak klise, anda perlu menulis dari dalam jiwa. Anda mesti terlibat sepenuhnya dalam penceritaan itu untuk menjayakannya. Gunakan pengalaman anda sendiri atau perkongsian daripada orang lain sebagai inspirasi untuk menjadikan lakonlayar itu lebih bersifat peribadi. Silalah gunakan pelbagai element penceritaan seperti rasa ingin tahu, saspen, dan kejutan kerana itu dapat membantu membuat skrip anda lebih menarik. Berhati-hati dengan cara anda membina lakonlayar itu kerana tidak sukar bagi pembaca untuk mengesan jika sesebuah skrip itu ditulis secara sambil lewa.


Watak

Sebaik sahaja selesai dengan pembinaan plot, tibalah masa untuk mengisi cerita itu dengan watak-watak. Setiap watak – terutamanya yang mempunyai dialog – perlulah relevan dengan babak (atau keseluruhan cerita) yang melibatkan mereka, serta memainkan peranan di dalamnya. Apabila ada detik berbalas-balas dialog antar dua atau lebih watak, anda perlu tahu untuk mengekalkan dinamik ketika itu agar pembaca boleh merasakan tenaga yang serupa, seakan-akan mereka juga berada di dalam ruang yang sama dengan watak-watak itu. Jika sesebuah watak itu adalah protagonis, tekankan perihal itu dari awal skrip. Jika anda menulis tentang seorang watak jahat, tentukan sama ada kejahatannya itu adalah wajar atau tidak sambil anda menuju ke pertengahan dan penghujung cerita. Jangan buat pembaca suka atau benci satu-satu watak tanpa sebab yang kukuh.


Tunjuk, bukan cakap

Blah Barang kali ini merupakan antara mentera yang amat popular dalam seni visual kreatif. Ia lebih kurang serupa dengan ungkapan, “perbuatan itu lebih lantang daripada kata-kata.” Sudah jelas, anda perlu memiliki kemampuan untuk membangunkan lakonlayar anda (terutamanya plot) dengan menggunakan aksi dan butiran, bukannya bergantung semata-mata kepada watak untuk menerangkannya. Kaedah lain yang turut tergolong dalam spektrum ini termasuklah butiran deria serta ekpresi perasaan. Teknik sebegini bertujuan untuk memasukkan pembaca ke dalam plot, membolehkan mereka untuk mengalami sendiri tindak-tanduk dan emosi watak-wtak yang ada. Dalam erti kata lain, daripada hanya menerangkan apa yang berlaku melalui penceritaan, anda berusaha untuk menunjukkan kepada pembaca situasi semasa melalui gambaran dan aksi. Tiada salahnya untuk menggunakan watak sebagai perantara untuk menerangkan satu-satu babak, tetapi ada pembaca yang akan menganggapnya sebagai teknik yang bersifat malas atau pun menampakkan kekurangan imaginasi anda selaku penulis.


Keringkasan

Tak kira betapa tebalnya lakonlayar anda kelak, salah satu maklum balas terpenting yang anda harapkan daripada pembaca adalah berkaitan pemahaman mereka terhadap ceritanya. Melainkan nama anda ialah Christopher Nolan, perkara terakhir yang anda ingin lihat ialah mereka menggaru kepala dalam kekeliruan selepas selesai menyelak halaman terakhir skrip. Anda boleh memuatkan seberapa banyak subplot yang anda mahu, tetapi pastikan ianya berkait rapat dengan idea utam cerita itu. Sungguh pun jika anda menghasilkan satu lakonlayar antologi yang terdiri daripada beberapa cerita pendek yang bersifat kendiri, pembaca akan menjangkakan bahawa kesemua cerita itu terhubung melalui satu tema atau mesej yang sama. Maka, selalulah semak kemajuan skrip anda dan pastikannya sentiasa berada di dalam ruang lingkup hala tuju yang anda niatkan. Baca dan ulang baca setiap beberapa ketika selepas selesai menulis satu-satu babak untuk melihat jika ada apa-apa ralat yang boleh dielakkan.


Apa-apa pun, dengan pengetahuan yang mencukupi – serta pembacaan dan kajian yang meluas – sepatutnya tidak sukar bagi anda untuk mengarang satu kalonlayar yang mengagumkan, hanya sekiranya anda benar-benar komited terhadapnya. Biar pun anda menulis secara kadang-kala, jika anda merupakan seorang pembaca tegar, maka penulisan skrip merupakan sesuatu yang pasti anda mampu tangani. Semoga berjaya!



1 Comment


AVXJ KAZD
AVXJ KAZD
Nov 28

谷歌seo推广 游戏出海seo,引流,快排,蜘蛛池租售;

Fortune Tiger Fortune Tiger;

Fortune Tiger Fortune Tiger;

Fortune Tiger Fortune Tiger;

Fortune Tiger Fortune Tiger;

Fortune Tiger Slots Fortune Tiger Slots;

Like
bottom of page