top of page
Writer's pictureUkiyoto Publishing

PERMULAAN MOLEK, PENGAKHIRAN GEMPAK

Setiap kali anda berkunjung ke mana-mana kedai buku berhampiran dan menjumpai majalah kegemaran, anda mungkin hanya akan mengimbas setiap halamanmencari kisah (atau kadang kala gambar) yang amat menarik hinggakan anda tidak sangsi untuk terus membeli keseluruhan majalah semata-mata demimendalami kisah yang satu itu. Sungguh pun anda tidak punya niat untuk membeli, anda mungkin juga akan menghabiskan masa sehingga berjam-jam di kedai itu untuk membacanya. Serupa juga dengan novel atau buku – anda akan cuma memandang satu demi satu sepintas lalusehingga anda menjumpai sinopsis menarik atau epilog yang memukau.


Sama ada dalam bentuk cereka fiksyen atau penceritaan semula daripada kejadian sebenar, cerita yang hebat dapat membuat anda terasa seolah-olah berada di tengah-tengahaksi – semuanya itu hanya melalui kombinasi kata dan frasa yang unik. Ia bermula dengan rasa ingin tahu pembacayang disemai dan kemudian dibiarkan membugar sehingga bercambah satu pendedahan pada penghujungnya.Hasil sebegitu – beberapa perenggan pertama yang mantapdan momentum yang kekal hingga ke ayat terakhir – adalah sesuatu yang memerlukan seni tulis yang penuh teliti dan hanya boleh dikuasai selepas beberapa percubaan.


Kebanyakan pengarang tersohor mempunyai identiti mereka tersendiri yang menarik perhatian anda terhadap kerya mereka. Namun, tidak salah untuk menganggap bahawa mereka semua berpandukan kepada beberapa prinsip yang serupa. Hal tersebut mampu membantu anda menghasilkan penceritaan bermutupada permulaan yang menjamin perhatian penuh daripada pembaca.Apakah antara ciri yang boleh digunakan dalam penulisan anda, terutamanya pada peringkat awal?


  • Tarik perhatian pembaca

Satu kajian pada 2015 oleh Microsoft mendapati bahawa purata jangka hayat tumpuan manusia hanyalah lapan saat. Maka, dalam tempoh yang begitu singkat itu, anda perlu memastikan pembaca tidak lari daripada kisah anda. Melalui penggunaan latar atau sudut pandang di luar kebiasaan seawal halaman pertama lagi, anda sebenarnya mempersembahkan sesuatu yang agak berbeza. Elakkan penggunaan aktiviti atau kegiatan yang terlalu lazim dan tidak berimpak tinggi. Perkenalkan pembaca dengan sedikit tenaga dan nuansa yang akan dihidangkan sepanjang kisah itu.

Jangan lupa satu butiran penting: pastikan bab, perenggan, atau halaman pertama diakhiri dengan ayat yang mantap. Kebiasaannya, para penulis akan meletakkan satu persoalan yang amat dinantikan jawapannya oleh pembaca. Anda juga boleh merumuskan bahagian permulaan dengan satu insiden dramatik yang bertindak selaku asas kepada plot penggerak cerita.


  • Gunakan bahasa ringkas dan jelas

Menurutpengarang terkemuka Patricia Highsmith, perenggan permulaan perlulah sepanjang antara satu hingga enam baris. Hal ini adalah bagi mengelakkan pembaca daripada kelesuan dalam menghadamkan maklumat sedari ayat pertama.Dalam masa yang sama,cuba gunakan istilah yang ringkas dan jelas berbanding kata-kata yang ‘berbunga-bunga’. Memastikan pembaca memahami cerita anda adalah lebih penting daripada cuba memperkenalkan beberapa istilah yang agak asing untuk mereka tafsirkan.


  • Wujudkan misteri

Buatkan pembaca mempersoalkan kepastian situasi yang sedang mereka baca.Dengan mewujudkan ketegangan secukupnya melalui cara yang betul,anda akan membuatkan pembaca tidak senang duduk.Merahsiakan beberapa butiran mustahak adalah salah satu kaedah terbaik untuk menacapai hasil tersebut. Pembaca pasti akan ingin tahu lebih lanjut tentang apa yang akan berlaku selepas itu. Hal ini juga boleh diguna pakai dalam penulisan ilmiah, di mana anda mengemukakan beberapa persoalan penting yang akan dibincang serta diterangkan kemudian.

Sentiasa ingat bahawa salah satu daripada matlamat perenggan pertama adalah bagi memastikan pembaca terdorong untuk membaca keseluruhan buku atau novel.


  • Takrif dan perkenalkan aturan

Jika anda menulis karya sama ada fiksyen atau bukan fiksyen berdasarkan satu-satu genre, pastikan pembaca ambil maklum akan latar tersebut sedari awal pembacaan. Terangkan beberapa ciri yang lazimnya berkait rapat dengan genre itu bagi menghasilkan gambaran yang lebih jelas. Sekiranya anda tidak berbuat demikian, pembaca akan mewujudkan tanggapan mereka sendiri yang mungkin akhirnya tidak sesuai dengan konteks sebenar tatkala mereka menuju pertengahan cerita.



Setelah membina asas yang kukuh kepada kisah anda, adalah penting untuk melestarikan tenaga tersebut dan membawanya sehingga ke halaman terakhir. Bagi memastikan naratif dan penceritaan menjadi lebih menarik, ada beberapa petua yang boleh diterapkan dalam karya anda.


  • Manfaatkan alat bantu rancangan

Satu penceritaan yang bagus seharusnya memiliki kerangka yang utuh.Bagi memastikan hal tersebut dapat dilaksanakan, anda pasti perlu bergantung harap kepada beberapa mekanisme untuk membantu anda membayangkan idea baik pada peringkat awal mahu pun akhir. Di sini terletaknya peranan papan cerita, templat, gambar rajah, carta, atau peta minda yang tersusun rapi. Ia memberikan kelainan kepada cara anda membina naratif melalui pembahagian yang sistematik. Anda akan menyedari betapa pentingnya untuk mewujudkan watak dan latar yang mantap, serta mampu memancing minat dan menghiburkan pembaca.


  • Gunakan ayat aktif

Apabila sesuatu subjek melakukan satu tindakan yang dilambangkan oleh satu kata kerja, ia dikenali sebagai ayat aktif.Format sebegini menghasilkan penulisan yang lebih terus terang dan bertenaga menurut pandangan pembaca. Penceritaan yang lebih padat dan menghiburkan adalah lebih mudah untuk dibuat dengan menggunakan ayat aktif. Ciri-ciri sebegini membolehkan pemfrasaan yang lebih elegan dan kemas.


  • Selami penceritaan

Pada akhirnya, andalah insan yang bertanggung jawab mencipta penulisan itu.Anda yang menentukan apa yang berlaku di dalam dunia itu. Maka, anda perlu mendalami dan menyelami naratif itu dengan penuh semangat dan minat. Para pembaca boleh mengesan jika sesebuah karya itu dikarang oleh mereka yang tidak begitu berkeinginan untuk menulisnya. Maka, pastikan anda sentiasa dibekalkan dengan dorongan yang kuat sepanjang pembikinan penulisan anda. Beranikan diri dan usah ragu-ragu untuk mencuba pelbagai kaedah baharu dalam menyampaikan cerita anda.


Terdapat banyak lagi idea di luar sana yang boleh anda praktikkan tatkala melalui proses membangunkan penulisan. Idea-idea itu hanya memerlukan sedikit ubah suai yang berpadanan mengikut keperluan masing-masing supaya kelak ia akan menjadi lebih mudah untuk anda menyelesaikan tugas, serta dalam masa yang sama membolehkan anda meraikan ciri-ciri unik yang ada pada diri dan menterjemahkannya ke dalam karya itu. Hanya jadi diri sendiri dan mulalah menulis!


Ditulis Oleh: Syafiq Asyraf

1 則留言


AVXJ KAZD
AVXJ KAZD
11月28日

谷歌seo推广 游戏出海seo,引流,快排,蜘蛛池租售;

Fortune Tiger Fortune Tiger;

Fortune Tiger Fortune Tiger;

Fortune Tiger Fortune Tiger;

Fortune Tiger Fortune Tiger;

Fortune Tiger Slots Fortune Tiger Slots;

按讚
bottom of page